13/6/54

Wanita Insan Yang Hebat

         Sungguh hebat seorang wanita, nama dan statusnya juga turut tertulis di dalam al-Quran serta sering disebut dalam lipatan sejarah.
Khadijah isteri Rasulullah saw., Maryam ibu Isa as., Asiah isteri Firaun, Khaulah al-Azwar Penghayun Pedang Perang, Zainab al-Ghazali, dan ramai lagi tokoh wanita Islam yang gemilang. Termasuk juga wanita hebat yang melahirkan dan membesarkan kita.

         Manusia yang mempercayai hakikat kehidupan, penciptaan alam, SUNNATULLAH, akan tahu dan faham bagaimana hakikat kejadian seorang wanita, penghidupannya, dan ke mana kesudahannya selepas kehidupan ini.
Lantaran itu, wanita seharusnya dan wajib tahu hakikat kejadian hidupnya, serta peranan dan tanggungjawabnya dalam kehidupan.

Firma ALLAH dalam Surah At-Tin

 

"Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."
(At-Tin, 95:4-6)

 

Wanita Pada Pandangan Islam

           Islam telah meletakkan maruah dan kedudukan wanita pada tempat yang mulia. Sungguh bertentangan dengan nilai dan eksploitasi yang ditunjukan oleh Barat.
Wanita pada sudut dan pandangan Islam terletak pada kedudukan yang tinggi, asli lagi harmoni. Maruah dan kehormatannya ditatang dan dijaga sebaiknya ibarat emas permata dan segala perhiasan yang tidak ternilai harganya.

           Allah telah mewujudkan peranan antara lelaki dan wanita yang berbeza-beza namun kedua-duanya seiring penting. Tidak berperanan salah satu maka pincanglah semua.

          Dalam pembentukan sebuah institusi kekeluargaan, tidak akan sempurna tanpa kedua-dua jantina ini.  Pembentukan masyarakat dan pembinaan peradaban Islam memerlukan wanita tampil menyumbangkan tenaga dan memainkan peranan sebagai sayap kiri lelaki. Tampil memimpin golongan wanita, turut memerah otak memikirkan kelangsungan strategi dakwah, mendidik generasi baru Islam malah turut serta menghayun pedang perjuangan.

            Allah tidak memandang wanita dengan pandangan yang berat sebelah. Buktinya adalah, di dalam surah Al-Ahzab ayat 35.

Firma ALLAH dalam Surah al-Ahzab

 

"Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, Allah menyediakan untuk mereka ampunan yang besar."
Kewujudan artikel ini sebenarnya untuk menangkis beberapa pandangan dan persepsi kuno mengenai wanita.

            Sehinggalah pada hari ini, doktrin yang ditanam oleh Barat tentang wanita adalah selemah-lemah kaum masih lagi bertapak di pemikiran. Pemikiran inilah yang menyekat dan membataskan kemampuan wanita secara halus.
Hakikatnya, wanita bukanlah ingin menyaingi lelaki. Wanita juga tidak perlu menukar watak menjadi tomboy untuk membuktikan kekuatan dan ketabahannya. Wanita juga tidak perlu menjadi ganas semata-mata tidak mahu dipandang lemah.
Wanita insan tabah. Dijadikan oleh Allah swt. dengan sifat yang lemah lembut. Sesuai dengan peranannya sebagai pendidik anak-anak.

          Disaat terbentuknya bayi di dalam rahim dan kemudian dikandung selama sembilan bulan 10 hari, seterusnya kelahiran bayi telah membuktikan kehebatan dan ketabahan seorang wanita. Belum ditambah dengan kesabarannya dalam proses menyusukan dan mendidik anak sehinggalah mereka dewasa dan mampu berfikir dan berdikari sendiri.

Wanita Insan Tabah

           Bagaimana pula wanita yang masih di peringkat remaja? Tidak hebatkah mereka? Tidak kuatkah mereka?
Ya, jawab dengan yakin bahawa remaja wanita juga insan tabah.

        Di mana ukuran ketabahan dan kekuatan itu?
Ukuran ketabahan itu adalah disaat mereka mampu melawan musuh-musuh dalam lipatan sendiri iaitu nafsu. Disaat hadirnya godaan-godaan syaitan, manusia dan seangkatannya, mereka melawan dengan keyakinan berpegang teguh pada ALLAH.

         Perkembangan dunia yang pesat, pembangunan yang semakin global namun, wanita sedaya upaya membenteng diri dari terpengaruh dengan pelbagai godaan duniawi ini.
Melawan nafsu adalah jihad! Benar, inilah jihad yang perlu dipertahankan dalam diri setiap wanita. Dengan pendidikan dan tarbiyyah diri, yakinlah wanita yang dulu dipandang lemah merupakan insan hebat kerana mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan dunia.

Lemah Lembut atau Lembik


            Kebanyakan dari kita sukar untuk membezakan antara wanita bersifat lemah lembut dengan wanita yang bersifat lembik. Kita perlu faham istilah lembik dan lemah lembut adalah satu entiti yang berbeza.
Lembik adalah sifat negatif, manakala lemah lembut merupakan sifat positif bagi wanita.
Wanita yang lembik definisikan sebagai lemah, tidak mampu untuk hidup berdikari tanpa kebergantungan pada orang lain, penakut, serta tidak berupaya menghadapi cabaran. Ia lebih bersifat seolah mengada-ngada.

             Berbeza pula dengan lemah lembut, menurut Profesor Meadley, wanita yang bersifat lemah lembut adalah wanita yang mempunyai hati yang kuat, bisa melentur namun sulit untuk dipatahkan serta mampu hidup berdikari.

            Lantaran perbezaan definisi inilah maka kaum wanita perlu memahami sifat yang bagaimanakah yang perlu dimiliki untuk menjadi wanita sejati, yang mampu menggoncangkan dunia.

            Fitrah seorang wanita untuk memiliki sifat lemah lembut. Lemah lembut merupakan kekuatan kaum wanita. Wanita yang memiliki sifat inilah yang dimaksudkan dalam peribahasa Melayuyang berbunyi "Tangan Yang Menghayun Buaian Mampu Menggoncang Dunia".


ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น