17/6/54

Kedudukan pemuda- pemudi dalam Islam

              
             Pemuda dan pemudi pada hari ini ialah pemimpin dan harapan pada masa depan. Di atas bahu merekalah terbinanya sesebuah tamadun dan terserlahnya keagungan sesuatu kaum atau bangsa. Ini kerana mereka merupakan golongan yang sedia menerima perubahan dan sedia berjuang untuk mempertahankannya dengan penuh semangat. 

               Menyedari akan kedudukan golongan muda mudi dalam masyarakat maka Islam sangat memberi tumpuan kepada mereka dan sentiasa membimbing mereka ke arah jalan yang lurus. 
              Dalam lambaran sejarah Islam pada zaman silam sudah tentu kita akan dapati bahawa golongan yang segera menyahut seruan kebenaran Islam adalah terdiri daripada golongan muda mudi. Bermula dengan Saiyidina Ali , Saiyidina Abu Bakar , Saad bin Abi Waqas  dan lain-lain lagi.  
              Mereka semua itulah yang sanggup mengorbankan masa, harta benda malah nyawa mereka sendiri demi mempertahankan Islam dan menyebarluaskan risalahnya ke seluruh pelusuk dunia tanpa kenal perkataan malas, penat lelah, jemu, putus semangat, takut dan sebagainya. Sebaliknya dengan semangat yang berkobar-kobar dan keikhlasan hati mereka, Islam dapat ditegakkan
              Bersabda  Rasulullah (s.a.w) نصرتﺒالشباب yang ertinya Aku diberi pertolongan dengan golongan pemuda. Ucapan ringkas ini menggambarkan betapa besarnya peranan kaum muda mudi dalam menjayakan kerja-kerja dakwah Rasulullah (s.a.w) dan sekali gus menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan Rasulullah (s.a.w)terhadap jasa-jasa yang dicurahkan oleh kaum muda mudi itu.  
              Sebagai golongan muda mudi, kita harus sentiasa mencari ilmu pengetahuan baik ilmu agama mahupun ilmu dunia dengan sebanyak-banyaknya sesuai dengan sifat agama Islam sendiri yang sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan. Rasulullah (s.a.w)bersabda yang bermaksud: “ Menuntut ilmu itu satu kewajiban ke atas setiap orang muslim”. Hal ini merupakan perkara yang golongan muda mudi perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan tersebut untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas dan amanah daripada Allah (s.w) dan memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Ada riwayat bahawa Rasulullah (s.a.w)bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang menghendaki dunia maka dia perlu ada ilmu, barangsiapa yang menghendaki akhirat maka dia perlu ada ilmu dan barangsiapa yang menghendaki kedua-duanya maka dia juga perlu ada ilmu”
            Di samping ilmu pengetahuan dan kefahaman yang luas, kaum muda mudi, juga harus melengkapkan diri dengan akhlak-akhlak yang mulia seperti iman, takwa, tawaddu’, tawakkal, zuhud, qanaah, sabar dan sebagainya. Ini kerana akhlak yang mulia itu ialah perhiasan bagi orang mumin yang sebenarnya.  
             Seterusnya kita perlu sedar bahawa di atas bahu kita ada tanggungjawap dakwah menyeru manusia ke jalan Allah dengan “ amr bil maruf ” dan “nahi mungkar”
              Tanggungjawab dan amanah yang berat ini tidak akan dapat dilaksanakan melainkan dengan menggabungkan diri dalam jamaah yang matlamatnya adalah menegakkan kalimah Allah secara menyeluruh lagi sempurna dan mengikut garis panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (s.a.w)  
              Akhir sekali semoga dengan ini, kita semua akan dapat bersama-sama tergolong dalam kalangan pemuda pemudi yang Allah (s.w)berfirman yang bermaksud : “
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (al-Kahfi :13)
.
































ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น