19/6/54

PEMUDA HARAPAN UMMAH



       Berkata oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya Wajibus Syabab al-Yaum (Kewajipan Pemuda Pada Hari Ini) telah menyebut:

“Remaja adalah waktu yang menunjukkan tempoh kekuatan dan semangat yang kuat kerana ia adalah pertengahan umur dan pertengahan setiap perkara adalah yang terbaik.Ketika mana matahari berada di tengah langit pada waktu tengah hari, cahayanya bertambah kuat dan lebih panas”(Terjemahan Wajibus Syabab,terbitan BPI PERUBATAN,m/s 8 )



       Pemuda merupakan golongan yang penuh dengan kekuatan dan kemampuan.Mereka mampu melaksanakan sesuatu dengan pantas dan penuh semangat.Mereka juga mampu mengeluarkan idea-idea baru dan bernas yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain sebelum ini.Mereka juga tidak mudah berputus asa.Selagi mana matlamat  mereka belum tercapai, mereka akan melakukan apa sahaja demi mencapai ke arah itu.


Ciri-ciri pemuda harapan


       Imam Hassan al-Banna r.h. telah menyebut dalam risalahnya yang bertajuk Ila Syabab Wa Ila Tholabah Khossah(Khusus Kepada Pemuda Dan Penuntut Ilmu):

“Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keimanan, keikhlasan, semangat dan amal(bergerak) adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.”(Majmu’ah Rasail,cetakan Dar al-Dakwah,m/s 91)  
     

 1.       Keimanan:

       Iman dari segi bahasa bermaksud percaya dan yakin. Jika kita membaca sejarah mana-mana gerakan, langkah pertama yang akan dilakukan adalah menerapkan keyakinan dan kepercayaan ahli kepada pimpinan serta kebenaran perjuangan mereka. Inilah juga yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin yang ada dalam dunia ini. Bezanya dengan gerakan Islam, di samping menanam kepercayaan dan keyakinan ahli kepada pimpinan, mereka terlebih dahulu dihidupkan keyakinan dan kepercayaan mutlak bahawa Allah s.w.t. sahajalah yang layak disembah dan diabdikan diri. Penyembahan diri kepada Allah s.w.t. bukan semata-mata berkaitan dengan soal ibadah khususiah bahkan meliputi aspek kehidupan. Mereka beriman dan yakin sepenuhnya bahawa hanya agama Islam yang diturunkan Allah s.w.t. yang mampu memimpin dan menyelamat manusia daripada kebinasaan. Atas keyakinan inilah yang menolak para pendokong gerakan Islam untuk terus bergerak membawa agama ini. Inilah juga yang telah menolak golongan pemuda yang disebut dalam al-Quran sebagai ‘ashabul kahf’ untuk terus tetap berpegang teguh dengan perjuangan Islam dan menolak kepercayaan-kepercayaan karut masyarakat mereka.

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.”(surah al-Kahf,ayat 13)


 2.       Keikhlasan

       Ikhlas bermaksud kita hanya mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata tanpa mengharapkan habuan dan kepentingan diri. Sifat ini sangat penting bagi seorang pemuda untuk terus bergerak kerana dalam perjuangan menegakkan Islam mereka terpaksa mengorbankan segala-galanya. Tiada di sana ganjaran habuan,pangkat serta harta di akhir perjuangan ini melainkan hanya syurga Allah s.w.t..

Lihatlah bagaimana kisah salah seorang sahabat yang bernama Suhaib ar-Rumi yang ingin berhijrah ke Madinah,dalam perjalannya beliau telah diekori oleh sekumpulan Quraisy.Apabila beliau menyedari akan hal ini,beliau mengambil bekas anak panahnya dan diletakkan di hadapannya sambil berkata “Demi Allah! Sesungguhnya kamu semua telah mengetahui bahawa aku adalah seorang pemanah yang mahir.Demi Allah! Kamu tidak akan dapat menghampiriku sehinggalah aku memerangi kamu semua dengan kesemua anak panahku ini.Kemudian aku akan perangi kamu dengan pedangku sehingga aku terbunuh.Sekiranya kamu inginkan harta,aku akan tunjukkan di manakah hartaku.Hartaku tersimpan di tempat sekian-sekian”.Mereka(orang Quraisy) pun terus meninggalkan beliau dan mengambil hartanya.Ketika Suhaib ar-Rumi tiba di Madinah,baginda s.a.w. telah bersabda kepadanya: “Jual beli Abu Yahya(Suhaib) telah mendapat keuntungan”.Lalu Allah menurunkan firman-Nya:

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula Amat Belas Kasihan terhadap hamba-hambaNya(surah al-Baqarah,ayat 207)


 3.       Semangat

        Sifat inilah yang membezakan golongan pemuda.Ia tidak dimiliki oleh mereka yang sudah lanjut usianya.Bukan kerana lemah semangat tetapi lemahnya kudrat dan tenaga,saat usia di hujung senja. Ada kisah yang sangat menarik menceritakan semangat para sahabah Nabi s.a.w. itu tinggi ingin turut serta berjuang dan berjihad bersama-sama dengan baginda s.a.w.

“Abdullah bin Umar pula telah memiliki semangat juang yang bergelora untuk berperang sejak berumur 13 tahun. Ketika Rasulullah saw sedang mempersiapkan barisan pasukan pada perang Badar, Ibnu Umar bersama al Barra’ datang kepada baginda seraya meminta agar diterima sebagai prajurit. Saat itu Rasulullah saw menolak kedua pemuda kecil itu. Tahun berikutnya, pada perang Uhud, keduanya datang lagi, tapi yang diterima hanya Al barra’. Dan pada perang Al Ahzab barulah Nabi menerima Ibnu Umar sebagai anggota pasukan kaum muslimin”(Shahih Bukhari VII/266 dan 302).


 4.       Amal (Bergerak)

        Ciri terakhir inilah yang akan menentukan sama ada pemuda itu benar-benar telah mempunyai keimanan yang teguh,keikhlasan yang tulus serta semangat yang berkobar-kobar. Mustahil pemuda yang memilki ketiga-tiga ciri di atas akhirnya duduk berdiam diri melihat masalah yang banyak berlaku di sekelilingnya tanpa berbuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ketahuilah bahawa dengan amal akan menentukan pemuda itu sama ada hidup untuk ummah atau hidup sekadar untuk diri sendiri.

Dan katakanlah: Beramallah kamu,maka Allah akan melihat amalan kamu,begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang beriman,dan kamu akan dikembalikan kepada(Allah) Yang Maha Mengetahui Yang Ghaib Dan Yang Nyata,kemudian akan diceritakan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan”(surah at-Taubah,ayat 105)




Pemuda di abad ke-21

Suasana ketika di zaman Nabi s.a.w. sudah tentu tidak sama dengan suasana sekarang.Pemuda yang lahir pada hari ini terdedah dengan lebih banyak ancaman dan serangan berbanding pemuda yang hidup seribu tahun yang lepas.Hari ini,kita terdedah dengan arus liberalisasi dan globalisasi yang melanda kuat ke seluruh dunia Islam.

Pemikiran dan ideologi yang menyimpang daripada kefahaman Islam yang sebenar tersebar meluas dalam kalangan umat Islam.Budaya serta cara fikir orang Islam seakan-akan sudah tidak ada bezanya dengan orang Barat.

Musuh-musuh Islam pada hari ini tidak lagi melancarkan serangan secara fizikal ke atas umat Islam sebaliknya mereka telah menyusun strategi baru untuk menghancurkan golongan pemuda Islam melalui 5S iaitu Song(memberikan hiburan melampau),Sex(memberikan seks bebas melalui pergaulan bebas),Sport(menganjurkan sukan yang membuka aurat),Stim(dadah, arak dll)serta Strok (Otak menjadi beku dan tidak dapat berfikir lagi untuk kepentingan umat).


Pilihan di tangan sendiri

       Maka, generasi pemuda pada hari ini mestilah mempersiapkan diri dengan keempat-empat ciri yang disebutkan di atas.Mereka tidak seharusnya membazirkan masa walau sesaat dalam perkara yang tidak memberi faedah kepada kepentingan umat dan agama, sebaliknya mereka sepatutnya sentiasa berfikir dan bekerja ke arah bagaimana ingin mengembalikan semula kegemilangan Islam suatu masa dahulu.

Namun,akhirnya semua ini terletak pada pilihan sendiri.Sama ada ingin termasuk dalam mereka yang menjadi harapan kepada ummah ataupun menjadi haprak kepada ummah?

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa) Dia(Allah) akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu”(Surah Muhammad,ayat 38)





































ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น